MAKLUMAN / INFO SEMASA




MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA PERINGKAT SEKOLAH AKAN DIADAKAN PADA 23 JULAI 2015 (KHAMIS). HARAP MAKLUM.

SATU TAKLIMAT BERKAITAN DENGAN TUGASAN SEMASA AKAN DIADAKAN DI BILIK MESYUARAT PADA 09 0G0S 2015, JAM 1.20 pm, SEMUA GURU DAN KAKITANGAN DIJEMPUT HADIR. HARAP MAKLUM. .


KEPADA SEMUA GURU DAN STAF SOKONGAN YANG BELUM MENCAPAI 5 HARI BERKURSUS SEHINGGA 12 OGOS 2015, SILA SEMPURNAKAN DATA KURSUS ANDA. SURAT TUNJUK SEBAB AKAN DIKELUARKAN OLEH JPN KEPADA MEREKA YANG GAGAL BERBUAT DEMIKIAN. HARAP MAKLUM.

28 January 2010

UCAPAN SELAMAT DATANG


Pada tahun ini, SKBP menerima 5 orang warga baru. Diharapkan agar dapat bersama kami demi memajukan sekolah ini. Terima Kasih.



BANTUAN PELAJARAN DIBERI SEMULA

Dana RM700j biaya semula bantuan pelajaran dihenti
Daripada Zainor Said di Cebu, Filipina

Ibu bapa miskin tanggung beban banyak skim dipotong: TPM

KEMENTERIAN Pelajaran akan mendapat peruntukan tambahan RM700 juta bagi membiayai semula pelbagai bentuk bantuan yang terpaksa dihentikan sebelum ini, berikutan pengurangan peruntukan diberikan tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pada mesyuarat Kabinet pagi semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bersetuju supaya bantuan dihentikan sebelum ini dilaksanakan semula bagi meringankan beban pelajar dan ibu bapa.

Katanya, bantuan berkenaan membabitkan Skim Bantuan Tuisyen (SBT) pelajar miskin, bantuan pakaian seragam unit beruniform, bantuan makanan asrama, rancangan makanan tambahan, elaun murid berkeperluan khas dan bantuan sukan dan kokurikulum.

“Kita sudah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan, mana-mana kemudahan sebelum ini terpaksa dipotong dan kini bebannya mula memberi kesan kepada rakyat, kita harus kaji dan laksanakan semula.

“Langkah ini membuktikan kerajaan prihatin dengan beban yang terpaksa ditanggung rakyat terutama ibu bapa yang berpendapatan rendah di pedalaman.
“Dengan langkah ini, kita harap tidak akan timbul masalah ibu bapa yang tidak mampu menghantar anak mereka ke sekolah kerana bantuan kini disalurkan semula, ” katanya kepada wartawan Malaysia petang semalam, selepas tamat hari kedua Persidangan Majlis Menteri-Menteri Pelajaran Asean ke-45, di sini, yang bermula kelmarin dan berakhir esok.

Kemudahan SBT hanya diberikan kepada murid Tahun Empat, Lima dan Enam sekolah rendah kerajaan dan sekolah rendah bantuan kerajaan dengan pendapatan bulanan keluarga kurang RM530 di Semenanjung, Sabah (RM585) dan Sarawak (RM685).

SBT bertujuan membantu murid yang lemah dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik serta Sains, dan mereka layak menerima 10 baucar bernilai RM10 untuk setiap mata pelajaran berkenaan.

Berhubung perasaan tidak puas di kalangan pemimpin kesatuan guru di Sabah dan Sarawak apabila mendapati tidak terdapat sekolah di negeri berkenaan tersenarai sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi yang diumum beliau kelmarin, Muhyiddin berkata, kementerian tidak bersikap menganaktirikan mana-mana sekolah di negeri tertentu.

Katanya, pemilihan 20 sekolah itu berdasarkan kriteria ketat serta piawaian yang ditetapkan.

Beliau berkata, soal piawaian dan kriteria pemilihan tidak boleh di kompromi dan setiap sekolah yang dipilih harus memenuhi standard yang ditetapkan.

Bagaimanapun, katanya, pihak kementerian akan mengumumkan 30 lagi Sekolah Berprestasi Tinggi kumpulan kedua tahun depan dan 50 lagi pada 2012 menjadikan semua 100 sekolah.

Sehubungan itu, katanya, sekolah yang tidak terpilih kali ini masih mempunyai peluang untuk tersenarai.

22 January 2010

CUEPACS nafi COLA ditarik balik

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menafikan khabar angin kononnya elaun sara hidup kakitangan awam (COLA) dan elaun perumahan akan ditarik balik oleh kerajaan.

Presidennya, Omar Osman berkata, sekiranya ia dilaksanakan, sudah pasti ada surat pekeliling dengan ditandatangani secara rasmi oleh pihak berkenaan dan diedarkan untuk pengetahuan kira-kira sejuta kakitangan awam.

''Perkara baru yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan perlu mempunyai surat dan tarikh kuat kuasa dan ia tidak akan sah tanpanya,'' ujar beliau ketika dihubungi malam ini.

Omar mengulas berita yang tersebar dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) dan laman-laman blog yang mendakwa elaun tersebut akan ditarik balik oleh kerajaan sebagai langkah penjimatan perbelanjaan negara.

"Semalam saya ada bertemu dengan pegawai tertinggi Perbendaharaan dan Pegawai Akauntan Negara mengenai perkara itu dan mereka tidak tahu mengenai pemotongan tersebut," katanya.

Katanya, jika benar elaun itu ditarik balik, ia akan menjadi masalah besar kepada kakitangan awam kerana bonus tahun 2009 juga tidak diberi kepada mereka.

Utusan Malaysia Online: 22 Januari 2010

20 January 2010

Penempatan Semula Guru Adalah Proses Biasa - Alimuddin

KUALA LUMPUR: Penempatan semula guru yang dilaksanakan Kementerian Pelajaran bermula awal bulan ini merupakan satu proses biasa bagi mewujudkan pendidikan berkualiti, kata Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Katanya penempatan semula yang dilakukan adalah untuk memastikan semua sekolah di negara ini mempunyai guru yang mencukupi dan yang lebih penting mempunyai cukup guru dari segi opsyen.

Beliau berkata walaupun bilangan guru mencukupi namun terdapat kekurangan guru mengikut opsyen terutama bagi mata pelajaran kritikal seperti Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Pendidikan Agama Islam.

"Bagi memastikan akses dan ekuiti bagi mewujudkan pendidikan berkualiti, sudah pastinya penyediaan guru mengikut opsyen yang cukup menjadi keutamaan Kementerian Pelajaran dan kaedah penempatan semula guru akan digunakan untuk mengatasi masalah ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Alimuddin berkata keadaan menjadi lebih ketara apabila Jemaah Menteri memansuhkan pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah-sekolah dan menggantikannya dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Dalam konteks itu, katanya guru-guru yang mempunyai opsyen Bahasa Inggeris sebagai contoh, sangat diperlukan terutamanya di sekolah-sekolah luar bandar dan pedalaman.

Alimuddin berkata kajian yang dilakukan kementerian mendapati terdapat lebihan guru bagi opsyen mata pelajaran kritikal itu di sekolah-sekolah tertentu di bandar-bandar besar.

Katanya penempatan semula guru tersebut merupakan satu proses yang berterusan dan berperingkat-peringkat, sehingga masalah ketidakseimbangan ini selesai.

Beliau turut menjelaskan bahawa mulai tahun ini penempatan semula guru secara terhad akan dilaksanakan, di mana proses itu akan melibatkan penempatan guru-guru dalam negeri atau antara daerah sahaja.

Alimuddin berkata demikian sebagai mengulas isu pemindahan guru yang didakwa berpunca daripada penyalahgunaan kuasa di kalangan guru besar dan pengetua yang memindahkan guru tersebut akibat 'tidak sebulu' atau menimbulkan masalah kepada guru besar atau pengetua berkenaan.

Beliau turut meminta semua pihak tidak membesarkan isu tersebut selain menganggap program penempatan semula guru itu adalah proses biasa yang akan berlaku dalam perkhidmatan awam. -BERNAMA

Garis Panduan Tukar Guru

Perlu ada garis panduan sistematik tukar guru BM, BI
KUALA LUMPUR 18 Jan. - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) meminta kerajaan menyediakan garis panduan yang sistematik bagi menempatkan semula guru-guru yang mengajar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris ke sekolah lain.

Presidennya, Hashim Adnan berkata, program penempatan semula yang hanya melibatkan dua mata pelajaran itu telah disalah gunakan segelintir pentadbir sekolah dengan sewenang-wenangnya.

"Timbul masalah apabila penempatan semula ini dilaksanakan awal tahun ini. Kita menerima beberapa aduan daripada guru-guru mengenai perkara ini.

"Tiada garis panduan tetap mengenai penempatan semula guru dalam hal ini. Jadi sebelum ia berlarutan, sesuatu perlu dilakukan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Adnan berkata, NUTP bersetuju apabila Kementerian Pelajaran sebelum ini menjelaskan bahawa penempatan semula guru yang mengajar dua mata pelajaran itu adalah demi memperkukuhkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

"Namun, dalam proses pergerakan guru dari satu sekolah ke sekolah lain itu, masalah lain pula timbul. Kita dapati ada guru yang tidak mengajar dua mata pelajaran itu turut ditukarkan atas alasan guru itu tidak disukai pihak sekolah atau bermasalah," katanya.

Katanya, sejak program penempatan itu dimulakan awal Januari ini, terdapat 10 aduan yang sebahagian besarnya melibatkan penyalahgunaan kuasa pentadbir sekolah terhadap guru-guru yang dipaksa bertukar ke sekolah lain.

"Aduan lain termasuk arahan pertukaran dalam tempoh yang terlalu singkat sehingga menimbulkan masalah kepada guru terlibat. Ini memberi tekanan kepada mereka terutama yang mempunyai keluarga.

"Masalah kos sara hidup juga menjadi isu apabila penempatan semula ini tidak dilaksanakan dengan koordinasi yang tepat oleh pihak yang berwajib," katanya.

Justeru, NUTP turut menggesa kerajaan supaya mempertimbangkan menyediakan pampasan bulanan kepada guru-guru terlibat bagi membantu meringankan beban terutama kepada yang telah berkeluarga.

Katanya, penempatan semula guru-guru terbabit juga perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat dan berhati-hati dengan mengambil kira semua faktor kemanusiaan.

Adnan berkata, proses pertukaran guru-guru itu juga perlu dibuat berdasarkan kepada keperluan mata pelajaran di sesuatu sekolah dan bukannya kerana sekolah terbabit memerlukan guru semata-mata. - utusan online

19 January 2010

SALAH GUNA KUASA

PENGETUA SALAH GUNA KUASA TUKAR GURU BERMASALAH
Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendakwa ada segelintir guru besar dan pengetua menyalah guna kuasa untuk memindahkan guru yang ‘tidak sebulu’ atau bermasalah dari sekolah dalam melaksanakan program penempatan semula bermula awal bulan ini.

Presiden NUTP, Hashim Adnan, berkata guru besar dan pengetua terbabit mengambil kesempatan mengeluarkan guru tertentu yang sudah disasarkan dengan memberi alasan sekadar memenuhi arahan penempatan semula untuk mencapai matlamat memartabat Bahasa Malaysia dan memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Berikutan itu, beliau berkata, berlaku senario ada guru Bahasa Inggeris dipindahkan dari sekolah yang sedang mengalami kekurangan tenaga pengajar dalam subjek itu, malah keadaan sama menimpa guru opsyen Seni Visual walaupun mereka tiada kaitan dengan program penempatan semula untuk MBMMBI, sehingga menjejaskan pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
“Perkara sedemikian berlaku kerana tiada sebarang garis panduan mengenai penempatan semula ini yang dikeluarkan Kementerian Pelajaran untuk diguna pakai secara seragam oleh semua jabatan pelajaran negeri (JPN).

“NUTP memang tidak bersetuju dengan kaedah penyalahgunaan kuasa sebegini di mana guru besar atau pengetua mengambil kesempatan atas arahan penempatan semula untuk mengeluarkan guru yang tidak disukai, antara lain mungkin kerana guru berkenaan ‘kaki bangkang’, mahu pun guru bermasalah dari sekolah mereka.

“Kementerian perlu memantau supaya program penempatan semula ini dilakukan secara profesional bagi memastikan guru tidak menjadi mangsa,” katanya di ibu pejabat NUTP di sini, semalam.
Selain itu, Hashim berkata, ada guru sudah bertugas lama sehingga 20 tahun di sesebuah sekolah tetapi menerima arahan berpindah ke lokasi jauh dalam tempoh sesingkat dua minggu, menyebabkan timbul tekanan tinggi dari segi urusan keluarga dan bebanan kewangan.

Sebagai contoh, katanya, guru dari Sabak Bernam ditukarkan ke Petaling, Subang atau Klang terpaksa bangun jam empat pagi dan mengambil masa empat jam ulang-alik ke sekolah setiap hari, sekali gus menjejaskan tumpuan mengajar.

Bukan itu saja, beliau berkata, turut berlaku kes ada guru opsyen Bahasa Malaysia, tetapi mengajar Bahasa Inggeris selama 15 tahun demi memenuhi keperluan sekolah, malah pernah menjalani kursus pertukaran subjek, diminta bertukar ke sekolah lain dan dipaksa mengajar Bahasa Malaysia yang sudah ditinggalkan begitu lama.

Pada peringkat awal pelaksanaan penempatan semula ini, Hashim berkata, NUTP sudah menerima 10 aduan daripada guru yang kebanyakannya dari Selangor, termasuk lima atau enam kes mendakwa berlakunya penyalahgunaan kuasa guru besar dan pengetua.

18 January 2010

NUTP Minta Garis Panduan

NUTP Minta Garis Panduan Jelas Berhubung Isu Penugasan Semula Guru - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran diminta menyediakan garis panduan yang jelas berhubung isu penugasan semula guru-guru bagi mengelak berlakunya penyalahgunaan kuasa dalam proses penukaran seseorang guru.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Hashim Adnan berkata pihaknya menerima aduan terdapat segelintir guru besar atau pengetua mengambil kesempatan untuk mengeluarkan guru yang tidak disukai atau guru bermasalah di sekolah masing-masing.

Walaupun masih di peringkat awal pelaksanaan penugasan semula, NUTP telah menerima sejumlah 10 aduan di mana antara lima dan enam daripadanya membabitkan kes salah guna kuasa guru besar, katanya pada sidang media di pejabat NUTP di sini hari ini.

"Masalah besar timbul apabila berlaku penyalahgunaan kuasa di mana guru besar atau pengetua mengambil peluang untuk menukarkan guru sesuka hati sehingga menyebabkan berlakunya penganiayaan," katanya.

Selain salahguna kuasa disebabkan penugasan semula guru, NUTP turut menerima aduan berhubung bebanan kewangan yang terpaksa ditanggung oleh guru yang diarah berpindah dalam tempoh satu atau dua minggu, terutama bagi mereka yang telah berkeluarga dan menetap serta mengajar di sesebuah sekolah untuk tempoh 10 hingga 15 tahun, katanya.

Beliau berkata ada juga guru mengadu ditukarkan ke sekolah yang terlalu jauh sehingga menyebabkan mereka terpaksa mengambil masa dua jam ke tempat kerja setiap hari.

"NUTP mencadangkan supaya pampasan bulanan diberikan kepada guru-guru berkenaan seperti insentif yang ditawarkan kepada mereka yang sanggup bertugas di kawasan pedalaman," katanya.

Sehubungan itu, Hashim meminta kementerian turut memantau proses penugasan semula bagi memastikan pelaksanaannya dilakukan dengan lebih sistematik.

Hashim berkata perkara itu juga harus dilaksanakan secara berperingkat dan berhati-hati dengan mengambil kira faktor kemanusiaan seperti kepakaran seseorang guru yang telah mengajar sesuatu subjek sejak sekian lama.

"Kita mencadangkan supaya guru yang belum berkahwin atau mereka yang boleh dikategorikan sebagai 'young family' atau baru berkahwin dan tidak mempunyai anak yang ramai, ditukarkan terlebih dahulu di bawah redeployment guru ini," katanya.

Selain itu, katanya, setiap pertukaran haruslah dilakukan berdasarkan keperluan subjek di sesebuah sekolah dan setiap kekosongan mesti diisi dengan segera.


12 January 2010

GURU MESTI PANDAI

Muhyiddin: Guru Perlu Sesuaikan Diri Dengan Perubahan
LONDON: Timbalan Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata di sini hari ini bahawa guru perlu menyesuaikan diri dengan perubahan bagi menggalas tanggungjawab baru dalam mengendalikan pembelajaran menggunakan teknologi dan dalam mengendalikan serta menilai teknologi.

Beliau berkata guru perlu serba boleh dalam bidang teknologi dan tidak menolak teknologi.

"Cabaran sebenar bukan sekadar penyediaan kemudahan teknologi tetapi aplikasi pedagogi teknologi," katanya dan menambah jika guru tidak menyesuaikan diri dengan perubahan, insentif yang banyak pun tidak akan dapat mengubah mereka.

"Mereka perlu mempunyai kehendak untuk perubahan dan mahu berubah," katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Forum Pembelajaran dan Teknologi Dunia 2010 di sini.

Forum itu adalah yang terbesar yang menghimpunkan para menteri, pemimpin dan pembuat dasar pendidikan di dunia yang menumpukan pada pembangunan dan gabungan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam pendidikan dan juga, khususnya dalam pembelajaran dan pengajaran dalam bilik darjah.

Mengenai penggunaan teknologi, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata guru perlu mengubah cara mereka berfikir.

"Daripada peringkat awal lagi, kami semua sedar bahawa penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran melibatkan lebih daripada sekadar menyediakan komputer dan perkakasan lain di sekolah dan bilik darjah.

"Kami berulang kali mengingatkan para guru kami yang mereka perlu memainkan peranan penting, jikapun bukan lebih kritikal, sebagai pembimbing. Mereka tidak lagi boleh menjadi hakim di atas pentas," katanya dan menurutnya guru perlu memikul tanggungjawab baru sebagai fasilitator pembelajaran.

Katanya guru juga diingatkan bahawa teknologi hanya berupa alat kerana interaksi dalam bilik darjah pada asasnya adalah berkaitan dengan emosi manusia yang boleh menjadi pelemah atau pendorong pembelajaran.

"Tiada teknologi yang dapat menggantikan seorang guru. Guru perlu terus menjalankan peranan utama mereka dalam menggalakkan dan mendorong pelajar untuk belajar, seiring dengan pelaksanaan ICT dalam pendidikan, dalam memupuk keyakinan pelajar untuk belajar dengan memanfaatkan teknologi," katanya.

Beliau berkata kemudiannya pedagogi kritikal ialah kebolehan guru dalam mengenal pasti saat kritikal bagi menggabungkan teknologi dalam pengajaran mereka kerana pemilihan aplikasi dan strategi yang betul akan memperluaskan lagi dimensi bilik darjah dan meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar.

Mengenai inisiatif latihan, katanya beliau bangga menyatakan bahawa Malaysia telah mencapai impak positif.

Katanya kajian oleh Kumpulan Komanwel British (BCG) pada 2008 dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi (EPU) mengenai MSC Malaysia, mendapati terdapat peningkatan daripada segi kreativiti dan keberkesanan dalam pengajaran dan pembelajaran, kadar celik ICT lebih tinggi di kalangan guru dan pelajar dan keberkesanan dalam pengurusan dan komunikasi di kalangan pemegang amanah juga meningkat.

Muhyiddin berkata impak daripada ICT juga telah membuka pintu kepada lebih banyak peluang kepada pendidik di Malaysia.

Katanya ICT berfungsi sebagai wadah dalam mengurangkan jurang digital antara sekolah, dan sebagai alat pengajaran dan pembelajaran yang menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan, relevan dan bermakna.

"ICT juga telah membawa dunia ke dalam bilik darjah dan meningkatkan kadar celik maklumat," katanya.

Katanya sistem pendidikan adalah tidak bernilai jika sekadar mengajar generasi muda bagaimana untuk hidup tetapi tidak mengajar mereka bagaimana untuk menjalani kehidupan dengan bermakna.

"Intipatinya, proses pendidikan merupakan satu transformasi dan ia perlu mampu mengubah cara berfikir dan memupuk hati nurani. Oleh itu dalam keghairahan kita untuk memperkenalkan teknologi, kita tidak harus melupakan dimensi pendidikan kemanusiaan," katanya.

"Kita perlu menjadikan pendidikan pertahanan terbaik dalam memberikan jaminan ekonomi, dalam melindungi kesihatan, membasmi kemiskinan, menyelamatkan nyawa dan memerangi kebuluran," katanya
.-
BERNAMA

FROG SYSTEM

Kerajaan Kaji Laksana E-Pembelajaran 'Frog System'
LONDON: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata kerajaan sedang mengkaji kaedah e-pembelajaran yang dinamakan "Frog System" yang diamalkan di beberapa sekolah di United Kingdom untuk dilaksanakan di Malaysia jika didapati bersesuaian


Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata jika bersesuaian, kaedah itu yang agak radikal dan berkesan akan meningkatkan mutu pembelajaran dan pengajaran.

"Kita memang sudah ada beberapa sistem mengenai pembelajaran ICT (Teknologi Maklumat dan Komunikasi), tetapi kita berminat untuk melihat bagaimana pembelajaran dan pendidikan di United Kingdom (UK) dilakukan," katanya, sambil menyatakan kajian itu masih di peringkat awal.

Kerajaan, katanya sentiasa mahu memastikan mutu tahap pembelajaran dan pendidikan di sekolah-sekolah dapat dipertingkatkan, terutama sekali perkembangan teknologi dalam ICT untuk melangkah jauh ke hadapan.

Beliau berkata untuk itu, Malaysia perlu melihat pengalaman yang telah dicapai di UK di mana sekolah yang tidak terpilih, dalam tempoh beberapa tahun, telah mengatasi pencapaian sekolah-sekolah biasa.

Sebelum itu, beliau yang dalam rangka lawatan rasmi lima hari ke UK diberi taklimat mengenai penggunaan sistem itu oleh Sunbury Manor School di Surrey, yang terletak kira-kira 25 km dari sini.

"Saya telah mengarahkan Bahagian Teknologi Pendidikan untuk mengkaji jika sesuai, untuk melihat cara-cara melaksanakan di Malaysia," katanya, sambil menyatakan ia akan dilaksanakan di Semenanjung Malaysia terlebih dahulu sebelum dipanjangkan ke Sabah dan Sarawak secara wayarles.Sungguh pun begitu, beliau berkata banyak perkara perlu dipertimbangkan seperti kos melaksanakan kaedah tersebut. Beliau tidak menyatakan kos yang bakal terlibat jika dilaksanakan.
BERNAMA

MAJLIS KESYUKURAN UPSR 2009


Pada 09 Januari 2010 - Warga SKBP telah mengadakan satu majlis bagi meraikan dan melahirkan rasa penuh kesyukuran ke atas kejayaan murid-murid dalam UPSR 2009. Majlis yang turut dihadiri oleh Dato' Ibrahim bin Mat Din yang seterusnya merasmikan majlis tersebut. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Setiausaha Politik Dato' Awang Adek yang turut memberi ucapan dalam majlis tersebut. Penduduk sekitar dan ibu bapa kepada murid-murid turut diundang bagi memeriahkan majlis tersebut.

08 January 2010

KELAS PULIH MURID LEMBAP (LINUS)

Oleh Johari Ibrahim dan Azrina Ahzan
bhnews@bharian.com.my
PUTRAJAYA: Mulai tahun ini, semua murid Tahun Satu akan menjalani ujian khusus selepas dua bulan memulakan persekolahan bagi menguji tahap penguasaan dalam menulis, membaca dan mengira (3M) selaras dengan pelaksanaan program Literasi dan Numerasi (Linus).

Menerusi ujian itu, murid yang dikenal pasti lembap dalam pembelajaran akan dimasukkan ke kelas pemulihan, manakala yang mengalami kecacatan fizikal seperti masalah telinga atau mata ditempatkan di kelas pendidikan khas di sekolah sama.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata program itu adalah antara empat inisiatif sub Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi memperkukuhkan tahap literasi murid sekolah rendah daripada 87 peratus tahun lalu kepada 90 peratus tahun ini.

Tiga lagi sasaran awal empat sub NKRA ialah meningkatkan kadar penyertaan murid prasekolah, melahirkan Sekolah Berprestasi Tinggi dan merangka insentif berbentuk kewangan serta bukan kewangan kepada kepimpinan sekolah.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata program Linus akan disokong dengan penempatan guru terbaik untuk mengajar murid Tahun Satu, selain menambah guru pemulihan pada nisbah satu guru bagi 15 murid berbanding satu guru untuk satu sekolah sekarang.

"Penambahan guru ini akan membolehkan lebih tumpuan diberikan kepada murid yang lemah penguasaannya dalam kemahiran menulis, mengira dan membaca," katanya ketika menyampaikan perutusan Tahun Baru 2010 kepada warga kementeriannya di sini semalam, yang turut disiarkan secara langsung menerusi RTM, TV3, Astro Awani dan Eduweb.

Hadir sama, kedua-dua timbalannya, Datuk Dr Wee Ka Siong dan Dr Mohd Puad Zarkashi; Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Dr Zulkurnain Awang dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Pada majlis sama, Muhyiddin turut menerima sumbangan RM2 juta untuk Tabung Kumpulan Wang Simpanan Pelajar Miskin (KWAPM) daripada Naib Presiden Bahagian Pendidikan Petronas, Juniwati Rahmat Hussin.

Pada sidang medianya, Muhyiddin berkata, program Linus akan dilaksanakan dengan bantuan Kementerian Kesihatan bagi menguji tahap penglihatan dan pendengaran murid ketika mengikuti pembelajaran di dalam bilik darjah.

"Program ini adalah komitmen kerajaan untuk memastikan semua murid mampu menguasai 3M dalam tempoh tiga tahun awal persekolahan di sekolah rendah.

"Walaupun peratusan murid yang gagal menguasai 3M hingga Tahun Enam adalah rendah, kita mesti berusaha membantu mereka kerana mungkin kegagalan itu berpunca daripada keadaan fizikal masing-masing," katanya.

Muhyiddin turut mengumumkan kajian penilaian terhadap sistem pendidikan negara akan diadakan dengan kerjasama Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) tahun depan.

Beliau berkata, kajian itu bertujuan mendapatkan pandangan pihak luar mengenai sistem pendidikan negara supaya kerajaan dapat menambah baik segala kelemahan sekiranya ada.

"Kita perlu mengesahkan dakwaan bahawa sistem pendidikan kita adalah yang terbaik dan Unesco mampu memberikan maklum balas yang diperlukan dengan kerjasama kementerian.

"Hasil kajian yang bakal dilaksanakan nanti diharap mampu memperkukuhkan lagi sistem pendidikan negara," katanya.

Sementara itu, Alimuddin ketika dihubungi menjelaskan kaedah pemarkahan akan digunakan dalam ujian bagi murid Tahun Satu untuk menentukan sama ada pelajar berkenaan berupaya meneruskan pembelajaran dalam aliran perdana.

Beliau berkata, murid yang lembap dalam pembelajaran berdasarkan keputusan ujian berkenaan, akan dimasukkan ke kelas pemulihan di sekolah sama sebelum dimasukkan semula ke aliran perdana.

"Selagi tidak pulih, murid berkenaan akan terus ditempatkan dalam kelas pemulihan sehingga mampu menguasai 3M.

"Murid yang mengalami masalah fizikal yang disahkan doktor pula ditempatkan di kelas pendidikan khas untuk meneruskan pembelajaran, juga di sekolah yang sama," katanya.

Beliau berkata, had maksimum penempatan murid itu dalam kelas pemulihan bergantung kepada keupayaannya menguasai semula 3M berdasarkan ujian yang akan diadakan dari semasa ke semasa.

Program itu bagaimanapun tidak membabitkan penambahan waktu persekolahan kerana murid berkenaan dipindahkan ke kelas pemulihan atau pendidikan khas dan menjalani pembelajaran seperti rakan lain pada waktu sekolah.

RENCANA PILIHAN - HORMATI GURU

BUAT RENUNGAN DAN TATAPAN MURID-MURID YANG DISAYANGI
Hormati guru anda
Sesi persekolahan baru sahaja bermula minggu ini. Bagi yang pertama kali melangkah masuk ke alam persekolahan mahupun pelajar lama, semoga tahun 2010 memberi semangat baru buat anda untuk cemerlang dalam pelajaran.


UNTUK cemerlang dalam pelajaran, insan paling bertanggungjawab membentuk pelajar ke arah itu adalah guru yang tidak pernah jemu memberi tunjuk ajar pada setiap masa.

Ilmu yang dicurahkan oleh guru amat penting bagi menjadikan seseorang itu insan berguna pada masa hadapan. Jadi, guru mesti dihormati kerana jasa mereka tidak akan terhitung oleh kita.

Pada asasnya, tugas hakiki seorang guru adalah mengajar di sekolah. Guru mendidik pelajar supaya menjadi manusia berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Mereka juga merupakan ibu bapa kedua kepada pelajar memandangkan banyak masa dihabiskan di sekolah berbanding di rumah.

Pelbagai cara boleh dipraktikkan untuk menghargai jasa guru yang tidak pernah jemu-jemu mencurahkan bakti tanpa mengenal erti jemu.

Guru tidak pernah meminta wang ringgit dan harta sebagai balasan. Cukuplah setiap pelajar menghormati mereka dengan mengucapkan selamat sejahtera apabila berjumpa.

Tidak salah kalau menyapa guru ketika berselisih di luar kawasan sekolah sekalipun.

Dengan cara itu, bukan sahaja dapat menunjukkan sikap menghormati guru, malah dapat mengeratkan lagi hubungan antara mereka demi kebaikan bersama.

Pelajar juga boleh menghargai guru dengan cara menyiapkan kerja sekolah. Mereka mesti menghantar kerja sekolah mengikut masa yang ditetapkan.

Jika terdapat kesalahan dalam latihan, guru akan membetulkannya. Dengan ini, pelajar dapat belajar daripada kesilapan.

Sikap dan disiplin diri seorang pelajar di sekolah juga adalah penting. Pelajar juga boleh menghargai guru dengan cara berdisiplin semasa di sekolah.

Secara tidak langsung, ini boleh menjadikan mereka lebih tekun dalam pelajaran dan seterusnya berjaya dalam hidup.


GURU bertanggungjawab mendidik anak bangsa mengenal apa yang baik dan buruk bagi mengharungi masa depan yang lebih bermakna.

--------------------------------------------------------------------------------


Mereka juga perlu mematuhi peraturan sekolah. Sebagai contoh, mereka perlu datang awal ke sekolah dan tidak terlibat dalam gengsterisme, vandalisme, ponteng sekolah, melepak dan lain-lain. Oleh itu, jadilah pelajar yang berdisiplin.

Memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran semasa mengikuti pengajaran guru juga sebahagian tanda hormat dan penghargaan seseorang pelajar.

Dengan membuang masa dan membuat bising dalam kelas ketika guru sedang mengajar adalah tindakan yang menunjukkan pelajar tidak menghormati guru.

Jika sikap seperti ini berterusan dan tidak diperbetulkan, ia akan merugikan masa depan pelajar terbabit.

Sebelum terlambat, ubahlah sikap dengan berusaha sebaik mungkin menghormati dan mengenang jasa guru.

Jika di rumah, ibu bapa adalah insan yang perlu disayangi, manakala di sekolah pula guru umpama ibu bapa. Jadi, sebagai pelajar, anda boleh menunjukkan kasih sayang kepada guru.

Ia boleh dilakukan dengan dengan membawa buku-buku ke bilik guru, selain memberi hadiah tanda ingatan semasa sambutan Hari Guru.

Namun, apa lebih penting guru akan rasa dihargai apabila pelajar dapat meluangkan masa untuk menziarahi mereka ketika terlantar sakit. Mereka akan berasa disayangi dan diingati sepanjang masa.

Sesungguhnya, guru ibarat lilin yang sanggup membakar diri dan menerangi hidup orang lain.

Lagipun, guru telah berjaya melahirkan generasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Janganlah jadi salah seorang yang merugikan masa depan sendiri. Tepuk dada tanya selera.
- NUR AISHAH MOHD. AMIN



05 January 2010

Elemen Baru Dalam Kurikulum

Elemen Kreativiti, Inovasi Diterap Dalam Kurikulum Sekolah: Muhyiddin
KUALA LUMPUR: Elemen kreativiti, inovasi dan kemahiran hidup akan dimasukkan dalam pengajaran dan pembelajaran di bawah kurikulum baru sekolah yang sedang disemak, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, ini dilakukan melalui transformasi terhadap bidang seperti isi kandungan kurikulum, penyusunan, predagogi dan pendekatan di dalam bilik darjah bagi membolehkan potensi kreativiti dan inovasi pelajar dipupuk dengan efektif.

Beliau berkata, transformasi adalah penting kerana kurikulum merupakan satu daripada perubahan penting bagi keberkesanan sekolah dan laluan kepada kecemerlangan pendidikan.

"Kurikulum berkualiti meningkatkan pengetahuan pelajar dan mampu memupuk daya kompeten mereka. Dengan mengambil kira perkara ini, kurikulum sekolah perlu responsif kepada jangkaan dan permintaan bagi pendidikan berkualiti," katanya semasa merasmikan Persidangan Ke-23 Kongres Antarabangsa untuk Keberkesanan dan Peningkatan Sekolah (ICSEI) 2010, di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, transformasi kurikulum amat baik bagi pewujudan ekonomi berasaskan pengetahuan dan kejayaannya bergantung penuh kepada potensi kreatif dan inovatif modal insan.

"Satu lagi pendekatan penting untuk mencapai kecemerlangan pendidikan ialah meningkatkan kualiti guru, yang boleh dilakukan menerusi program pembangunan profesional berterusan bagi meningkatkan kompetensi, pengetahuan dan kebolehan guru," katanya.

Beliau berkata, guru berkualiti boleh menjadi faktor penentu kepada prestasi sekolah dan pencapaian pelajar dan usaha juga perlu dilakukan untuk menarik lebih ramai golongan berkebolehan untuk menceburi profesion perguruan melalui pembangunan proses pemilihan yang efektif dan dan menawarkan pembangunan kerjaya yang menarik.

"Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam pengajaran dan pembelajaran dipercayai dapat mewujudkan kumpulan besar modal intelektual tinggi dan tenaga kerja kompeten yang mampu memenuhi permintaan ekonomi baru," katanya.

Mengenai persidangan itu, Muhyiddin berkata, acara empat hari bertema "Memperkasakan Pembelajaran di Sekolah: Daripada Penambahbaikan Dasar Kepada Amalan Efektif" adalah relevan dengan permintaan dan jangkaan semasa bagi pendidikan berkualiti.

ICSEI 2010 memberi ruang kepada kira-kira 400 peserta termasuk cendekiawan antarabangsa dan ahli akademik dan guru berkongsi pengalaman, menjana idea dan membincangkan mengenai inovasi serta isu dan cabaran dalam sektor pendidikan.

Kira-kira 200 kertas kerja akan dibentangkan di samping simposium pada persidangan itu. - BERNAMA




TAKWIN SKBP

PENGUNJUNG SETIA

KEMBALI RUANG UTAMA