MAKLUMAN / INFO SEMASA




MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA PERINGKAT SEKOLAH AKAN DIADAKAN PADA 23 JULAI 2015 (KHAMIS). HARAP MAKLUM.

SATU TAKLIMAT BERKAITAN DENGAN TUGASAN SEMASA AKAN DIADAKAN DI BILIK MESYUARAT PADA 09 0G0S 2015, JAM 1.20 pm, SEMUA GURU DAN KAKITANGAN DIJEMPUT HADIR. HARAP MAKLUM. .


KEPADA SEMUA GURU DAN STAF SOKONGAN YANG BELUM MENCAPAI 5 HARI BERKURSUS SEHINGGA 12 OGOS 2015, SILA SEMPURNAKAN DATA KURSUS ANDA. SURAT TUNJUK SEBAB AKAN DIKELUARKAN OLEH JPN KEPADA MEREKA YANG GAGAL BERBUAT DEMIKIAN. HARAP MAKLUM.

27 March 2009

BI 100% OR 100% ENGLISH

Sumber: Utusan Malaysia 27 Mac 2009

KOTA BHARU 26 Mac – Tahap penguasaan bahasa Inggeris (BI) bagi semua guru di negeri ini disasarkan mencecah 100 peratus pada tahun depan, kata Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Ishak Ismail.


Beliau berkata, langkah itu juga bagi memastikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Katanya, sasaran itu melibatkan lebih 1,500 guru di 547 sekolah rendah dan menengah yang dipertanggungjawabkan bagi mengajar dalam dua mata pelajaran itu.

Menurut beliau, untuk mencapai sasaran, pelbagai jenis program latihan dan bimbingan yang dipertingkatkan akan dilaksanakan sepanjang tahun ini antaranya Sistem Bimbingan Taulan (SBT) yang melibatkan pembelajaran sesama warga pendidik.

“Melalui SBT, guru yang mahir dalam BI akan menjadi pembimbing kepada rakan-rakan yang kurang menguasainya terutama sekali mereka yang mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik.

“Dengan cara ini, kita dapat menyediakan barisan pendidik yang berkemampuan dan memastikan para pelajar tidak ketinggalan daripada menguasai BI dengan baik,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika Seminar Pemantapan Mata Pelajaran Matematik dan Sains Dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun 2009 yang disertai 300 pendidik daripada semua sekolah seluruh negeri di sini kelmarin.

Ishak berkata, Kelantan merupakan antara negeri yang mencatatkan keputusan cemerlang untuk Sains dan Matematik dalam UPSR lepas walaupun kedua-dua subjek itu diajar dalam BI.

Pencapaian subjek Sains tahun 2008 mencatat keputusan kelulusan 82.40 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu 75.92 peratus, manakala bagi subjek Matematik pula 82.38 peratus berbanding 83.9 peratus pada tahun 2007.

Justeru, katanya, keputusan itu sebagai bukti PPSMI perlu diteruskan dan JPN sendiri akan memastikan ia dijayakan dengan baik dengan langkah-langkah yang sewajarnya.

“Selain pelbagai jenis program, setiap guru yang mengajar dalam BI akan diberi elaun sebanyak 10 peratus daripada gaji pokok mereka sebagai insentif.

“Bagaimanapun, saya tidak mahu ada pihak yang menyalah anggap pemberian insentif ini kerana walaupun tidak diberikan, guru-guru ini akan tetap mengajar dalam BI,” jelasnya.

Sementara itu, jelasnya, tidak ada sebarang tentangan yang dihadapi JPN di negeri ini untuk memastikan PPSMI berjaya dilaksanakan.

Beliau berkata, JPN bersedia bersemuka dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) seluruh negeri untuk menerangkan bagaimana keprihatinan jabatannya untuk memastikan tidak ada pelajar di negeri ini yang ketinggalan.



BESTARI SOLAT

j-QAF,PANITIA PENDIDIKAN ISLAM DAN GURU KAFA SKBP MENGANJURKAN KEM BESTARI SOLAT PADA 6 & 7 MAC 2009

Sebagai kesinambungan program-program j-QAF di peringkat sekolah, Sekolah Kebangsaan Beris Panchor akan meneruskan usaha mendidik murid-murid menguasai kemahiran-kemahiran solat dalam Kem Bestari Solat kali ini. Sebagaimana dalam kem-kem yang lalu, murid-murid di ajar cara-cara berwuduk, solat dengan betul, Kemahiran-kemahiran dicatat dalam borang penilaian yang disediakan.


Melalui kem kali ini, murid-murid akan didedahkan kepada kemahiran,berwuduk dan bersolat, melalui kaedah penerangan, simulasi, lakonan, latih tubi bacaan dan latihan mengikut kumpulan (LDK) yang telah ditetapkan. Penilaian terhadap penguasaan murid dalam kemahiran dilakukan juga di akhir program untuk mengetahui prestasi murid-murid dan untuk tindakan susulan kem yang akan datang.

Kem Bestari Solat adalah salah satu pecahan daripada program j-QAF. Ianya mesti dilaksanakan sebanyak 4 kali dalam setahun bagi memastikan setiap murid bermula dari Tahun Satu dapat menunaikan solat dengan sempurna dari segi bacaan dan perbuatan.


Maulidur Rasul






18 March 2009

PPSMI 'Bantutkan Murid'

Kajian: PPSMI 'bantut kecerdasan murid'
Jimadie Shah Othman Mar 18, 09 12:13pm
Kajian lapan universiti awam mendapati dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) "menimbulkan kerugian berganda kepada murid" dan "tidak menguntungkan, sebaliknya membantut tahap kecerdasan murid."



Kajian yang diusahakan Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina) dan melibatkan 53 pakar bahasa itu mendapati, pelaksanaan PPSMI hanya memberikan kesan minimum – kurang daripada 4 peratus – kepada pencapaian bahasa Inggeris secara menyeluruh.

"Dari segi perkiraan analisis kos-faedah dalam konteks pelaburan jangka panjang, amalan PPSMI tidak menguntungkan, sebaliknya membantut tahap kecerdasan murid serta merugikan generasi akan datang.

"Dengan ini, disarankan supaya dasar PPSMI diberhentikan.

"Ia juga harus diterokai pendekatan alternatif pengajaran bahasa Inggeris cara lain yang lebih konkrit dan praktikal, iaitu dengan menggubal dan menambahbaikan kurikulum dan pedagogi mata pelajaran bahasa Inggeris itu sendiri," laporan itu dipetik.

Laporan sepuluh halaman itu turut mendedahkan pelaksanaan PPSMI menimbulkan kerugian berganda kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terlibat – bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Petikan - Malaysiakini

17 March 2009

PENGUMUMAN PTK

Open Book Test untuk PTK

Sila klik di sini untuk muaturun Surat Siaran berkenaan perkara ini.


Open Book Test untuk PTK

Sila klik di sini untuk muaturun Surat Siaran berkenaan perkara ini.




11 March 2009

MTQ


Tahniah buat Kumpulan Nasyid SKBP yang muncul Naib Johan dalam Majlis Tadarus AlQuran dan Festival Nasyid Peringkat ZonPen 1 PPD Bachok. Johan bagi acara ini dimenangi oleh SK Pauh Sembilan.


Gambar disumbangkan oleh Cikgu Rohaya dari SK Pauh Sembilan




Kejohanan Bola Tampar


Tahniah kepada Pasukan Bola Tampar SKBP yang telah muncul sebagai Johan (Bahagian Lelaki) dan Naib Johan ( Bahagian Perempuan)dalam Kejohanan Bola Tampar Antara Zon yang berlangsung di SMK Beris Panchor pada 10 Mac 2009. Pasukan Bola Tampar akan mewakili Daerah Bachok bagi perlawanan seterusnya yang akan berlangsung di Pasir Puteh.

08 March 2009

MEMORANDUM PPSMI

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik sekalian mohon diampun
08/03/2009

(Puji-pujian dikeluarkan daripada teks untuk bacaan umum)



Mengapa Patik Sekalian Meminta Kerajaan Supaya Memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik sekalian mohon diampun.

Adapun Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) ini telah dilancarkan di Kuala Lumpur pada 31 haribulan Januari 2009. Alhamdulillah sejak itu sambutannya di seluruh negara sangat memberangsangkan.

MENGAPA PATIK SEKALIAN MEMBANTAH PPSMI

Patik sekalian membantah PPSMI dan meminta kerajaan memansuhkannya atas beberapa sebab utama seperti yang kami jelaskan berikut:

1. Dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu (iaitu Bahasa Kebangsaan Malaysia) di sekolah kebangsaan yang telah dilaksanakan sejak Kemerdekaan berdasarkan Ordinan Pelajaran 1957, kemudian Akta Pelajaran 1961 dan seterusnya Akta Pendidikan 1996, telah mencapai kejayaan yang luar biasa dan tidak pernah menimbulkan apa-apa masalah yang besar dan serius. Banyak pelajar kita, beratus ribu banyaknya, malah lebih 3 juta (dari tahun 1957 hingga tahun 2003) telah berjaya mempelajari ilmu sains dan matematik dalam bahasa mereka sendiri dari peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat institusi pengajian tinggi. Semua orang tahu akan kejayaan dasar yang asal itu dan banyak bukti tentang kejayaan itu dapat kami tunjukkan tetapi kami tidaklah berhasrat untuk membebankan pembaca dengan datanya yang agak banyak dan panjang.

2. Tidakkah orang yang membuat keputusan yang tidak munasabah itu sedar bahawa hasil daripada dasar pelajaran kebangsaan yang menetapkan bahasa Melayu (Bahasa Kebangsaan Malaysia) sebagai bahasa pengantar utama, ratusan ribu pelajar kita (seperti yang tersebut di atas) pandai sains dan matematik dalam bahasa sendiri, dan ribuan daripada mereka berjaya menjadi profesor yang mengajar sains dan matematik di peringkat pengajian tinggi dalam bahasa sendiri, menjadi ahli sains, jurutera, pakar-pakar perubatan, pandai berbincang, mengarang buku sains, menerbitkan hasil-hasil kajian saintifik dalam bahasa sendiri, iaitu bahasa Melayu, di samping bahasa Inggeris (kalau perlu)? Tidak mereka tahu bahawa sebelum tahun 2003 jumlah tesis Sarjana Sains (M.Sc.) dalam bidang sains dan matematik yang ditulis dalam bahasa Melayu berjumlah lebih 2,000 (dua ribu buah) manakala tesis Doktor Falasfah (Ph.D.) dalam bidang tersebut yang ditulis dalam bahasa Melayu berjumlah lebih kurang 400 buah?

3. Maka kami berasa amat hairan dan terperanjat mengapa dasar yang sudah baik dan berjaya itu, dasar yang tidak menimbulkan apa-apa masalah yang besar dan serius itu, tiba-tiba dimusnahkan dan digantikan dengan PPSMI?

4. Keputusan PPSMI yang dibuat dalam tahun 2003 itu dibuat dengan mengejut tanpa apa-apa perbincangan, tanpa apa-apa perundingan dengan pakar-pakar pendidikan dan bahasa, tanpa memikirkan baik buruknya terhadap bahasa Melayu dan terhadap pelajar dan guru yang telah cukup biasa mengajar dan belajar sains dan matematik dalam bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan (atau dalam bahasa ibunda di Sekolah Jenis-Kebangsaan Cina dan Tamil) selama lebih 37 tahun! Tiba-tiba anak-anak kita yang tidak mengetahui bahasa Inggeris sepatah pun, kebanyakannya dari kawasan luar bandar, dipaksa belajar sains dan matematik dalam bahasa yang mereka tidak tahu itu. Beberapa orang ahli bahasa di Barat menganggap bahawa ini adalah contoh dasar English linguistic imperialism atau dasar penjajahan bahasa Inggeris yang berlaku di beberapa banyak negara bekas jajahan British, menyebabkan kebanyakan bangsa peribumi atau negara itu tidak maju sains dan teknologi.

5. Antara sebab yang dikemukakan oleh pihak yang cuba mempertahankan PPSMI ialah: Kalau orang Melayu atau pelajar Melayu mahu pandai dan maju dalam bidang sains dan matematik mereka hendaklah mempelajarinya dalam bahasa Inggeris, tidak dalam bahasa sendiri, yakni bahasa Melayu. Mengapakah setelah lebih 37 tahun pendapat yang salah dan karut ini ini digunakan untuk mengubah dasar asal dan menggantikannya dengan dasar PPMSI? Tidak ada bukti ilmu dan empiris yang kukuh untuk mempertahankan alasan itu. Hampir semua bangsa dan negara yang maju sains dan teknologi mengajar sains di sekolah hingga ke peringkat pengajian tinggi dalam bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda mereka masing-masing. Sekadar menyebut beberapa contoh, Negara China, Jepun, Korea, Vietnam, Thailand, Indonesia, semua negara Eropah (termasuk Britain), Rusia dan negara-negara Skandinavia tidak mengajar sains dan teknologi dalam bahasa asing. Kebanyakan negara Afrika yang menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa Perancis sebagai bahasa rasmi dan bahasa pendidikan, baik di peringkat menengah dan peringkat tinggi, mahupun di peringkat sekolah rendah, tidak maju sains dan teknologi. Negara Brunei Darussalam tidak menggunakan bahasa Melayu untuk mengajar sains dan matematik di sekolah menengah dan di universiti dan kita tahu negara itu tidak maju sains dan teknologi, yakni negara itu tidak sama taraf kemajuan sains dan teknologinya dengan negara seperti Jepun, Korea dan negara China atau Taiwan. Korea Utara adalah negara kuasa nuklear. Negara itu tidak mengajar sains dalam bahasa Inggeris. Begitu juga, di Filipina, negara berbahasa Inggeris yang terbesar di Asia atau Asean, tidak menggunakan bahasa Filipina untuk mengajar sains dan matematik di sekolah menengah dan di peringkat pengajian tinggi, dan kita tahun negara itu tidak merupakan negara maju sains dan teknologi. Kebanyakan eksport Filipina, menurut seorang ahli ekonomi Filipina, ialah pembantu rumah dan pekerja biasa; kelebihan mereka ialah, mereka boleh bertutur dalam bahasa Inggeris di peringkat rendah.

7. Beberapa banyak kajian yang telah dilakukan oleh pakar-pakar pendidikan dan bahasa di seluruh dunia membuat kesimpulan bahawa manusia, mulai peringkat kanak-kanak, lebih mampu berfikir secara kreatif dan dapat memahami konsep-konsep ilmu dengan lebih mudah dan cepat dalam bahasanya sendiri. Hal ini dapat kita lihat berdasarkan hakikat bahawa semua karya besar di dunia, baik dalam bidang sains mahupun sastera, dihasilkan dalam bahasa ibunda atau bahasa asal atau bahasa kebangsaan pengarang itu. Kebanyakan pemenang Hadiah Nobel tidak datangnya dari golongan berbahasa Inggeris. Yang terbaharu, Hadiah Nobel Fizik tahun 2008 ialah 3 orang ahli sains Jepun yang menghasilkan kajian dan karya mereka dalam bahasa Jepun.

Kajian di Amerika Syarikat, Kanada dan beberapa buah negara di Eropah dan Afrika dan Hong Kong menunjukkan bahawa pelajar sains dan matematik dalam bahasa bukan ibunda merosot prestasi mereka dan tidak pula meningkatkan penguasaan atau kemahiran bahasa asing mereka. Pertandingan antarabangsa sains dan matematik yang diadakan tiap-tiap tahun untuk pelajar sekolah dimenangi oleh pelajar yang belajar sains dan matematik dalam bahasa ibunda masing, tidak dalam bahasa asing.

8. Setelah enam tahun berjalan, PPSMI masih tidak berkesan dan banyak menimbulkan masalah yang kebanyakannya tidak didedahkan kepada umum. Pengumuman Keputusan UPSR Tahun 2008 menunjukkan hanya 31.1% (159,234) murid sahaja daripada 511,875 murid Tahun 6 yang menjawab Kertas Sains dalam bahasa Inggeris. Ini bererti sebanyak 68.9% (352,641) murid tidak menjawab dalam bahasa Inggeris. Ini bukti kegagalan mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, walaupun dipaksakan kepada pelajar itu.

9. Dalam mata pelajaran matematik pula, 46.6% (238,153) murid daripada 511,499 jumlah murid yang menduduki peperiksaan Matematik UPSR menjawab dalam bahasa Inggeris. Ini bererti 53.4% atau seramai 273,346 murid menjawab dalam BM atau BM/BI. Ini juga bukti kegagalan pengajaran matematik dalam bahasa Inggeris kepada pelajar berbahasa Melayu.

10. Kedua-dua angka yang tersebut pada para 8 dan 9 di atas menunjukkan peratus pelajar atau seramai 352, 641 pelajar tidak faham bahasa Inggeris untuk menjawab soalan dalam bahasa ini, dan seramai 273, 346 murid tidak memahami matematik yang diajarkan dalam bahasa Inggeris. [Catatan: ini tidak bererti bahawa pelajar itu tidak mempunyai ‘otak’ atau minat untuk belajar atau memahami sains atau matematik; puncanya ialah, mereka tidak memafami soalan yang dibuat dalam bahasa Inggeris, samalah seperti kita cuba mengajar sains dan matematik kepada pelajar Inggeris di England dalam bahasa Melayu atau bahasa Jepun dan bahasa-bahasa lain yang mereka tidak faham satu patah pun].

HASIL KAJIAN

11. Hasil kajian sebenar dan bebas yang dilakukan oleh pasukan penyelidik seramai 50 orang pensyarah dari 7 buah Universiti (UPM, UiTM, UPSI, USM, UUM, UMS dan UTM) dengan selian Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA) di 70 buah sekolah menengah (pelajar Tingkatan 4) dan 90 buah Sekolah rendah di seluruh negara (murid darjah 5) membuat kesimpulan bahawa PPSMI telah gagal memberikan manfaat kepada pelajar, khususnya pelajar-pelajar Melayu di sekolah kebangsaan luar bandar. Di beberapa buah negeri, misalnya Perlis, Kelantan, Sabah dan Sarawak, peratusan pelajar yang gagal (markah D & E) melebihi 50%. Prestasi SPM 2007 jelas menunjukkan bahawa bilangan pelajar Melayu yang cemerlang dari Sekolah Berasrama Penuh dan Maktab Rendah Sains MARA (MPRSM) juga menunjukkan kemerosotan yang menundum, terutama dalam mata pelajaran Kimia dan Matematik.

12. Dua kajian lain telah dilakukan, iaitu (a) kajian yang dibuat oleh Profesor Emeritus Dato’ Isahak Haron dari UPSI Januari 2008), terhadap 1703 murid tahun 5 di 28 buah Sekolah rendah dan terhadap 1692 guru, dan (b) kajian yang dibuat oleh Profesor Datin Dr. Juriah Long (dari UKM) ke atas pelajar Tingkatan 2 di 242 buah Sekolah Menengah di seluruh negara yang meliputi 7,236 pelajar (2004) dan 707 guru matematik dan 701 guru Sains. Hasil dapatan kedua-dua kajian ini hampir sama dengan kajian yang dibuat oleh PEMBINA.

APAKAH UKURAN YANG DIGUNAKAN UNTUK MENGABSAHKAN PPSMI?

13. Perkara yang sangat merungsingkan kami ialah, dalam percubaannya untuk mempertahankan PPSMI dan membuktikan bahawa dasar PPSMI itu ‘sudah berjaya’ atau ‘akan berjaya’, para pegawai di Kementerian Pelajaran cuba menurunkan markah lulus mata pelajaran sains dan matematik sehinggakan murid yang mendapat markah 30% dianggap sudah boleh lulus (yakni mendapat markah B dan C). Kalau cara yang ‘mengelat’ ini digunakan untuk mengatakan bahawa jumlah pelajar yang lulus dalam sains dan matematik dalam bahasa Inggeris semakin meningkat alamatlah mutu pelajaran pelajar kita dalam bidang ini akan menurun, tidak tinggi. Sebelum tahun 2003 semasa sains dan matematik diajarkan dalam bahasa Melayu mutu pelajaran dalam mata pelajaran ini tidak direndahkan atau dengan kata lain, markah lulusnya tidak diturunkan.

GMP TIDAK FANATIK BM DAN TIDAK ANTI BAHASA INGGERIS

14. Kami tidak didorong oleh apa-apa emosi atau fikiran yang tidak rasional atau oleh perasaan anti-bahasa Inggeris. GMP juga bukan ‘gila bahasa Melayu’. Kami cuma mahu mempertahankan dasar yang betul dan baik dan menolak dasar yang salah. Dasar yang salah, yang boleh memudaratkan bangsa kita, harus ditolak. Dasar yang baik harus disokong. Pendapat yang mengatakan bahawa bangsa yang tidak menuntut ilmu sains dalam bahasa Inggeris, bangsa itu tidak akan maju dalam bidang sains adalah pendapat yang sama sekali tidak benar. Kita tidak perlu membuang masa membuat kajian yang panjang lebar untuk membuktikan bahawa pandangan itu sama sekali salah.

15. Hal yang sangat menghairankan kami dan orang yang berilmu di mana-mana sahaja ialah, ‘pendapat’ atau ‘teori’ yang mengatakan bahawa pelajar kita boleh menguasai bahasa Inggeris dengan baik melalui pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Kalau pendapat ini benar, tidak perlulah pelajar kita belajar bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran tersendiri. Tidak pernah kita mendengar orang belajar bahasa asing melalui pelajaran sains dan matematik dalam bahasa itu. Bahasa Inggeris seharusnya diajarkan melalui pelajaran bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran yang tersendiri (mengajar nahu, membaca sastera dalam bahasa Inggeris, dan sebagainya), tidak melalui pelajaran sains dan matematik. Kajian yang disebut para perenggan 7 di atas mengesahkan perkara ini.

16. GMP telah menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan serius untuk memperbaiki pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua atau bahasa asing (‘foreign language’) di sekolah kebangsaan untuk memastikan pelajar kita dapat menguasai bahasa ini dengan baik setelah mempelajarinya selama sebelas tahun dari Darjah I hingga Tingkatan V. Selama ini kebanyakan pelajar kita, terutama di Sekolah Kebangsaan di luar bandar, tidak fasih berbahasa Inggeris walaupun bahasa ini telah diajarkan kepada mereka selama 11 tahun. Masalah inilah yang sepatutnya diselesaikan oleh kerajaan, bukan mengubah dasar yang sudah baik dan berjaya, lalu menimbulkan masalah yang tidak patut timbul.

17. Terakhir, bangsa Melayu hendaklah sedar bahawa bahasa Melayu adalah salah satu bahasa yang terbesar di dunia, diketahui oleh lebih 280 juta manusia di seluruh dunia, khususnya di kawasan induknya, iaitu kawasan Melayu-Indonesia.

Akhir kalam, patik sekalian, dengan penuh takzim, dengan harapan yang tinggi, memohon kepada Ke Bawah Duli Tuanku, Raja Yang Berdaulat dan Ketua Perlembagaan Negara Malaysia, sudi apalah kiranya Duli Tuanku berkenan menerima Warkah Memorandum ini.

Atas limpah berkenan Ke Bawah Duli Tuanku menerima perutusan patik sekalaian mengadap Tuanku untuk mempersembahkan Memorandum ini ke bawah Duli Tuanku, patik sekalian menjunjung kasih yang tidak terhingga, dan berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala semoga Duli Tuanku Dilimpahi rahmat dan hidayah sebagai Ketua kepada Perlembagaan Negara Malaysia.

Sekianlah patik sekalian persembahkan. Wabillah hitaufik wal hidayah, wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Patik sekalian yang berdatang sembah:

tt-memorandum-a

10 rabi’ul Awal 1430 bersamaan 7 Mac 2009.

..........................
Sumber: http://profabdullah1.wordpress.com/

05 March 2009

KECELARUAN PPSMI

Bekas Menteri akui wujud kecelaruan dalam PPSMI
KANGAR: Bekas Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad mengakui wujud kecelaruan dalam pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) walaupun tujuan pelaksanaannya adalah baik.


Menurutnya PPSMI bertujuan


meningkatkan mutu pendidikan di Malaysia tetapi sepanjang enam tahun pelaksanaannya ia dilihat seperti tidak mencapai sasarannya disebabkan kecelaruan itu.


"Masalah itu hanya dapat diatasi jika para pendidik meningkat dan menggalakkan tahap penguasaan bahasa Inggeris dengan kemudahan-kemudahan sokongan yang disediakan termasuk bahan pengajaran dan pembelajaran," katanya selepas menyampaikan syarahan tokoh kebangsaan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini hari ini.


Menurutnya Kementerian Pelajaran termasuk para pendidik serta pelajar perlu bertindak segera untuk menangani kelemahan yang ada sekiranya ingin merealisasikan PPSMI.


"Galakkan penggunaan bahasa Inggeris dalam kehidupan harian kerana ia penting bagi meningkat kefahaman dalam bahasa itu," kata Musa yang juga bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) itu.


Katanya, identiti bangsa Melayu tidak akan berubah sekiranya menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar," katanya.


Sebelum itu, beliau yang menyampaikan syarahan bertajuk "Isu-isu Dalam Pendidikan Tinggi Semasa di Malaysia Sejarah dan Hala Tuju" berkata proses pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar memang berkesan tetapi setiap rujukan atau jurnal harus diterjemahkan segera ke dalam bahasa penghantar itu.


"Setiap rujukan dan jurnal adalah di dalam bahasa Inggeris dan sekiranya bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar dapat disokong dengan bahan-bahan dalam bahasa penghantar itu sendiri ia tidak akan menimbulkan masalah untuk para pendidik dan pelajar mendapatkan rujukan segera. Tetapi kini kebanyakan jurnal adalah dalam bahasa Inggeris," katanya.


Selain itu, Musa berkata, Kementerian Pelajaran perlu mengkaji semula kedudukan pencapaian pelajar di bandar dan di luar bandar kerana wujud perbezaan antara taraf pendidikan di bandar dan luar bandar menyebabkan pelaksanan PPSMI tidak mencapai sasarannya.


"Kita tidak boleh bezakan antara pendidikan di bandar dan luar bandar kerana tahap pendidikannya berbeza tetapi kita mampu mencari pendekatan yang terbaik untuk meningkatkan tahap pendidikannya," katanya. BERNAMA



TAKWIN SKBP

PENGUNJUNG SETIA

KEMBALI RUANG UTAMA