MAKLUMAN / INFO SEMASA
Saturday
VIDEO YOUTUBE SEBAGAI BBM
Thursday
SATU ALIRAN SATU MALAYSIA
BUKIT MERTAJAM: Sistem pendidikan negara perlu disusun semula termasuk melaksanakan sistem sekolah satu aliran bagi memastikan matlamat gagasan 1Malaysia tercapai, kata tokoh sejarah dan akademik Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim.
Beliau berkata, sistem pendidikan yang mengamalkan sekolah pelbagai aliran ketika ini tidak membantu rakyat menyelami makna sebenar gagasan itu.
Katanya, sejak dari kecil lagi rakyat sudah diasingkan mengikut aliran dan bahasa ibunda masing-masing dan apabila dewasa, semangat kerjasama dan persefahaman sukar untuk dijalinkan.
"Kita tidak perlu kepada sekolah yang banyak aliran, bahasa ibunda setiap kaum boleh diselitkan sebagai sebahagian daripada kurikulum di bilik darjah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program wacana "One Malaysia: Cabaran dan Harapan" sempena program semarak perpaduan dan patriotisme Institut Pendidikan Guru Malaysia peringkat kebangsaan di sini hari ini.
Namun begitu, beliau menjangkakan ada pihak yang akan membantah cadangan itu tetapi mereka yang berbuat demikian perlu menilai semula sejauh mana sistem pendidikan ketika ini boleh membantu mengukuhkan pembentukan sebuah negara bangsa. Mengimbau kembali sejarah terbentuknya sekolah pelbagai aliran di negara ini, Prof Khoo Kay Kim berkata, mengikut sejarah, British membenarkan penubuhan sekolah pelbagai bahasa di Tanah Melayu kerana kebanyakan pendatang ketika itu tidak mempunyai niat untuk menetap di negara ini.
"Jadi, British membenarkan mereka membuka sekolah menggunakan bahasa ibunda masing-masing supaya mereka dapat belajar mengenai negara sendiri. "Bagaimanapun, sistem ini tidak lagi perlu diteruskan sekarang kerana mereka sudah menjadi warga negara Malaysia dan perlu dididik supaya menerima negara ini dan masyarakat berbilang kaum yang ada di sini sebagai sebahagian daripada diri mereka," katanya lagi.
Khoo juga berkata, kebanyakan rakyat negara ini tidak tahu dan tidak memahami sejarah negara sehingga menyebabkan mereka berfikiran secara sempit.
Menurutnya, ada segelintir ahli politik yang lebih mengutamakan kepentingan diri dan agenda masing-masing berbanding matlamat utama negara bangsa.
"Ada ahli politik kita yang tidak mahu berintegrasi dan lebih suka kepada pemisahan, dan lihatlah bagaimana negara menjadi kucar-kacir kerana adanya ahli politik yang tidak mengutamakan negara bangsa tetapi lebih kepada agenda sendiri," katanya. pETIKAN MsTAR oNLINE.
Monday
ASRAMA TERBUKA, PENUTUP SYAWAL
Pada hari ini, bersamaan 30 Syawal, Jawatankuasa Asrama SKBP telah mengadakan Asrama Terbuka sempena sambutan Aidil Fitri 2009. Majlis kali ini lebih bererti lagi dengan kehadiran Tuan Pegawai PPD Tuan Haji Aziz dan juga sebahaian besar para penolong PPD. Majlis serba ringkas yang bermula pada pukul 12.oo tengahari tersebut dimulakan dengan ucapan aluan Tuan Guru Besar dan seterusnya ucapan amanah daripada Tuan PPD kepada penghuni asrama yang lengkap berpakaian raya.
Jawatankuasa Asrama merakamkan ribuan terima kasih kepada semua guru dan pekerja yang telah menyerikan majlis kali ini.
Sunday
PERKHEMAHAN UNIT BERUNIFORM 2009
Lata Mengaji, Selising-Alhamdulillah Perkhemahan Unit Beruniform 2009 pada 15 hingga 17 Oktober 2009 berlangsung dengan jayanya. Perkhemahan kali ini yang turut mengundang jurulatih luar iaitu En. Yusran Yaacob dari SMK Bachok dan En. Zulkifli Rahim dari SMK Perempuan Pasir Mas. Buat julung kali juga, perkhemahan kali ini mengetengahkan aktiviti-aktiviti lasak yang mencabar daya tahan murid-murid seperti Jungle Tracking dan Water Confident. Kebimbangan akan keadaan cuaca semasa, sedikit pun tidak melunturkan semangat guru-guru dan kem komandan. Ribuan terima kasih buat semua guru yang datang memberi sokongan, pasangan penender kantin yang sukarela menyediakan masakan untuk peserta dan beberapa orang isteri kepada pasangan guru SKBP yang turut serta menolong menyediakan makanan kepada para peserta.
Saturday
Cikgu & PPD Bachok Beraya Sakan
Tuesday
Kesian Kat Cikgu-Cikgu
Oleh; Abdul Rahim Sabri / Petikan dari: Malaysiakini
Okt 6, 09
12:04pm
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) akan meminta penjelasan daripada kerajaan berhubung laporan akan berlaku kelewatan penempatan guru-guru lepasan graduan institusi pengajian tinggi (IPT) yang mengikuti program pendidikan.
Laporan mengenai kelewatan tersebut disiarkan dalam blog upsikini.blogspot.com yang memetik Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Dr Zakaria Kasa sebagai menyatakan demikian.
Beliau dipetik berkata demikian dalam ucapan perasmian simposium halatuju pendidikan fizik di Malaysia, anjuran Persatuan Mahasiswa Sains (PMS) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) UPSI beberapa hari yang lalu.
Prof Dr Zakaria dipetik berkata, punca utamanya adalah disebabkan oleh kelembapan ekonomi negara dan masalah kewangan yang dihadapi dalam pentadbiran kerajaan.
Beliau dilaporkan berkata kenyataan itu harus diterima semua pihak, terutama pihak pelajar kerana ia "bukan sahaja melibatkan UPSI, malah seluruh institusi yang menawarkan program pendidikan".
Ketika diminta reaksinya, Presiden NUTP, Hashim Adnan berkata persatuannya berpendirian bahawa pendidikan bukanlah merupakan satu kos tetapi adalah satu pelaburan demi masa depan negara.
"Jangan nafikan hak-hak anak rakyat Malaysia untuk belajar," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
"Kita tidak bersetuju bahawa kerana masalah kewangan, guru-guru dan pendidik bakal menerima kesan dan nasib seperti ini," kata Hashim.
Menurutnya, kekurangan kewangan bukan alasan untuk mengetepikan hak rakyat untuk mendapatkan pendidikan.
"Kita kena cari jalan untuk menyelesaikan masalah. Kerajaan kena fikir jalan yang terbaik untuk mencari duit," katanya.
Sehubungan itu, kata Hashim, pihaknya akan berbincang dengan kerajaan untuk mengatasi isu yang berbangkit itu.
Menurut Hashim, terdapat kira-kira 380,000 guru di Malaysia dan menegaskan bahawa kekurangan guru adalah "masalah yang berterusan", termasuk guru yang bersara atau sakit.
"Ia mesti digantikan dengan guru-guru baru," katanya.